Aug 14, 2024 - FASSelangor FC membawa pulang tiga mata dari Stadium Likas selepas menumpaskan Sabah FC dengan keputusan 2-0 bagi saingan Liga Super 2024/25 semalam.
Semalam merupakan kemenangan 'away' pertama skuad Gergasi Merah dalam saingan Liga Super 2024/25. Perlawanan bermula dengan Sabah FC mendapat jaringan pertama pada minit ke-26. Kemudian, penyerang import, Ronnie Fernandez menyamakan kedudukan dengan merembat masuk gol sulung Gergasi Merah pada minit ke-31. Di hujung perlawanan, pemain pertahanan muda, Harith Haiqal menjaringkan gol kemenangan setelah bola yang cuba diselamatkan oleh penjaga gawang The Rhinos melantun tepat ke arahnya.
Menurut Nidzam Jamil, Ketua Jurulatih Selangor FC, gembira dengan kemenangan di tempat lawan.
“Kita gembira dengan kemenangan 'away' ini. Bukan satu perkara yang mudah kerana Sabah FC juga mempamerkan aksi yang baik di laman mereka sendiri. Saya suka nak tekan tentang komitmen yang dipamerkan oleh para pemain terutama sekali mereka yang masuk di separuh masa kedua. Kemenangan ini akan berikan motivasi kepada kami dalam perlawanan Akhir Piala FA nanti,” jelas Nidzam Jamil.
Daripada perlawanan #SABSFC dalam perlawanan Liga Super 2024/25 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
Ronnie Fernandez terus menyumbang
Penyerang import Selangor FC, Ronnie, terus menyumbang dengan satu jaringan gol dan satu bantuan gol dalam perlawanan #SABSFC. Ini merupakan jaringan keenam beliau dalam saingan Liga Super 2024/25 dan merupakan penjaring kedua terbanyak dalam liga setakat ini.
Gol kelima pertahanan muda Gergasi Merah
Harith Haiqal telah menunjukkan kematangan beliau dalam mengawal bahagian pertahanan dari musim ke musim. Pemain muda ini turut membuktikan ketajaman beliau di hadapan gol; bukan sahaja manis dalam menjaringkan gol ‘header’ tetapi beliau sering berada di kedudukan yang tepat untuk meledak masuk gol di setiap peluang yang ada. Harith telah menjaringkan gol kemenangan semalam pada minit ke-87 sekali gus membuka akaun golnya bagi musim 2024/25. Pemain berusia 22 tahun ini telah menjaringkan lima gol sepanjang bersama kelab Merah Kuning.
Pihak pengurusan Selangor FC ingin berterima kasih kepada para penyokong yang telah terbang ke negeri bawah bayu untuk hadir ke perlawanan #SABSFC. Sokongan anda amat kami hargai.
Seterusnya, Selangor FC akan mewakili pasukan Pilihan Selangor bagi kejohanan The Sultan of Selangor Cup menentang Pilihan Singapura yang akan berlangsung pada 17 Ogos ini di Stadium Merdeka. Jumpa anda di sana.
Demi Kebanggaan!